Selasa, 29 November 2011

Demam

Tisya,

Jangan demam lagi. Lawan segala penyakit.
Mama tak dapat jaga Tisya.
Tisya perlu jaga diri sendiri  bila Mama tiada.

Mama sayang Tisya.

Rabu, 19 Oktober 2011

14 September hingga 19 Oktober

Kehadapan Batrisyia,

Harijadi Tisya yang ke-2, kita sambut di hospital. Maaf. Mama ambil cuti untuk sambut harijadi Tisya, tapi Tisya batuk teruk, jadi Mama dengan Papa bawa Tisya jumpa Dr Mahani. Dr Mahani kata keadaan Tisya sudah teruk. Dia cakap selalu bila dia periksa Tisya, Tisya akan meronta-ronta lawan balik, tapi hari tu, Tisya diam je. Jadi doktor kata "Tisya sambut birthday kat sini la, ya". Mama sangat kecewa. Mama pakaikan Tisya baju cantik-cantik, sebab ingat lepas jumpa doktor, kita boleh pergi mall, supaya Mama boleh belikan Tisya hadiah. Tapi nak buat macamana, takkan Mama nak biar Tisya sakit semata-mata nak sambut harijadi Tisya. Kesihatan Tisya lebih penting dari yang lain-lain.

Tisya,
Kita duduk dekat hospital selama seminggu. hari keempat di hospital, Papa sudah bertolak ke India. Tinggal la Mama dan Tisya saja berdua di hospital. Hari terakhir, lepas dapat discharged, kita balik rumah. Rasa pelik pula, dekat hospital, tiap jam ada nurse datang ketuk bilik, bila dekat rumah cuma kita berdua saja. Tapi tak apa, sunyi-sunyi pun itu rumah kita. Mama tau Tisya pun suka, sebab dapat tengok BabyTv (dekat hospital tak ada).

Seminggu lepas discharged, Mama dan Papa bawa Tisya pergi follow up. Masa tu Tisya demam balik. Doktor Mahani suggest kita jumpa E&T lain, Dr Sahrir. Dr Sahrir periksa dan kemudian selepas dengar Mama kata, Tisya sudah enam kali masuk hospital, dia setuju tonsil Tisya perlu dibuang. Dia suruh pilih tarikh. Papa dan Mama pilih 7 Oktober. Doktor kata, 7 Oktober datang balik, masuk wad, kemudian dia akan buang tonsil Tisya.

Tapi Tisya demam lagi. Anaesthesiologist tak mahu ambil risiko. Jadi pembedahan Tisya ditunda. 10 Oktober baru tonsil boleh dibuang.

Seminggu lagi di hospital baru kita dapat balik rumah.

Oh ya, patutnya kita berada di Bali dari 15 Oktober hingga 21 Oktober, sebab ulangtahun perkahwinan Papa dan Mama. Tapi tak jadi nampaknya. Kita tunggu Tisya betul-betul sihat, nanti kita boleh pergi mana-mana pun, kan?

Hari ni 19 Oktober, ulangtahun perkahwinan Mama dan Papa tapi Tisya ada temujanji dengan Dr Sahrir.

Pagi tadi, awal-awal, Tisya dah kejut Mama dan Papa sambil nyanyi lagu yang entah Mama pun taktau.

Tak kisah la, Mama dan Papa tak dapat sambut pun.
Tisya sebenarnya hadiah ulangtahun kami yang paling berharga.

Mama sayang Tisya.

Rabu, 7 September 2011

7 hari

Kehadapan Nur Batrisyia,

Hari ini 7 haribulan September. Minggu hadapan Tisya akan genap dua tahun.

Mama sudah rancang beberapa perkara untuk Tisya, dan Mama sudah pesan beberapa buku untuk kita baca bersama nanti.

Sama macam malam tadi, nanti kita meniarap atas katil, dan baca buku sama-sama!

Mama sayang Tisya!

Sabtu, 20 Ogos 2011

Kuat

Nur Batrisyia sayang,

Tisya anak yang kuat. Kadangkala bila Tisya jatuh sakit, Mama dan Papa selalu ingatkan diri masing-masing betapa kuatnya Batrisyia.

Suatu hari, kalau Tisya rasa putus asa, bila Tisya rasa rendah diri.

Baca balik surat ini.
Jangan putus asa.
You are one tough cookie.

Mama dan Papa percayakan Tisya.
Dan kami bangga dengan Tisya. Ingat tu.

Mama (dan Papa) sayang Tisya.

Isnin, 15 Ogos 2011

Bagitau

Kehadapan Batrisyia,

Mama mahu Tisya tahu yang Mama sangat sayangkan Tisya.
Tisya nanti kalau sudah besar, tolong bagitau Mama apa-apa pun, Mama tak kisah.

Bila nanti Tisya mahu beli perfume pertama, bagitau Mama, nanti kita cari sama-sama.
Bila Tisya perlu beli baju baru mungkin untuk concert sekolah, bagitau Mama, nanti kita shopping sama-sama.
Kalau Tisya perlu bantuan kerjarumah, bagitau mama, nanti kita selesaikan sama-sama.
Kalau Tisya mau makan kek coklat, bagitau Mama, nanti Mama cari resepi, kita makan sama-sama.

Selagi mana, Mama mampu lakukan, Mama akan cuba laksanakan.

Tisya cuma perlu bagitau Mama. Itu saja.

Mama sayang Tisya.

Selasa, 26 Julai 2011

Marah

Tisya,

Malam tadi Mama marah pada Tisya.
Mama minta maaf.

Kadang-kadang Mama marahkan orang lain, tapi marah Tisya.
Selalunya Mama marahkan diri sendiri, tapi Mama marah Tisya juga.

Mama minta maaf.
Mama betul-betul sayangkan Tisya.

Isnin, 25 Julai 2011

Demam

Batrisyia,

Tisya selsema dan batuk teruk semalam.

Kita bertiga bertolak awal pagi balik ke Bangi. Tisya bangun banyak kali dalam kereta sebab tak selesa.

Mata Tisya jadi bengkak merah, mungkin sebab tak cukup tidur.
Tisya taknak minum susu, Tisya taknak makan.
Mama jadi kecewa tengok Tisya macam tu.

Hari ni, Papa kerja dari rumah untuk jaga Tisya.

Jangan nakal-nakal!
Tunggu Mama balik.

Mama sayang Tisya.

Sabtu, 23 Julai 2011

Segamat

Batrisyia,

Petang nanti lepas balik kerja, kita terus balik Segamat.
Mama ingat nak tempah baju raya di sana. Dah bertahun-tahun Mama tidak berbaju raya.

Lagi sejam, Mama dan Papa akan balik, ambil baju-baju kita, dan kemudian terus ambil Tisya.
Mama dah pack barang-barang Tisya (harap-harap jangan ada benda penting yang tertinggal). Tinggal baju Mama dan Papa saja belum.

Nanti, tolong jangan nakal-nakal dalam kereta.

Mama sayang Tisya.

Isnin, 18 Julai 2011

Rindu

Kehadapan Batrisyia,

Hari Isnin.
Mama rindu Tisya.

Mama sayang Tisya (setiap hari).

Sabtu, 16 Julai 2011

Pulang

Kehadapan Batrisyia,

Petang ni Papa akan pulang ke rumah *yeay!*.

Tapi bila Papa sampai nanti, mesti Tisya dah tidur.

Tak mengapa, bila Tisya bangun dari tidur, Papa ada dekat sebelah.

OK, nanti balik jangan sepahkan rumah!

Mama sayang Tisya.

Jumaat, 15 Julai 2011

22 bulan

Batrisyia anak Mama,

Mama sudah clearkan buku yang Mama kerjakan selama ini.

Hari yang sama, Tisya sudah cecah 22 bulan.

Lagi 2 bulan, Tisya akan berusia 2 tahun!

Selamat menyambut ulangbulan yang ke 22!

Hari ini sememangnya lebih baik dari semalam.

Mama sayang Tisya.

Khamis, 14 Julai 2011

Terpaksa

Tisya sayang Mama,

Hari ini Mama kerja sampai malam.
Kesian Tisya tinggal kat rumah Nenek Kiah sampai hari gelap.

Mama tinggalkan Tisya pukul 6.45 pagi, tapi pukul 8 malam baru dapat ambil Tisya.

Bila Mama sampai depan pintu tadi, Tisya nampak Mama terus lari tak cukup tanah.
Tisya jerit "Mamaaaa!"

Kesian anak Mama. Tunggu Mama sampai malam.

Semoga esok lebih baik dari hari ini.

Maafkan Mama.

Mama sayang Tisya.

Selasa, 12 Julai 2011

Makngah

Batrisyia,

Minggu ini hanya ada kita berdua.
Dulu, Makngah akan datang temankan kita bila Papa tiada.
Makngah yang bawa kita pergi KPJ.
Makngah yang belikan Mama makanan.
Makngah yang tolong buangkan sampah.
Makngah yang akan layan Tisya bila Mama sibuk di dapur.

Tapi sekarang Makngah ada training yang perlu dihadiri.
Jadi, Makngah takkan temanlan kita minggu ini.

Terima kasih, Makngah!

Jadi minggu ini, betul-betul cuma kita berdua.

Mama sayang Tisya.

Ahad, 10 Julai 2011

Mangsa

Kehadapan Batrisyia,

Hari ini hari Sabtu, tapi Mama perlu kerja.

Hujung minggu patutnya hari untuk kita bersama. Hujung minggu saja, Mama dapat masak untuk Tisya. Mandikan Tisya. Mengadap Tisya sepanjang hari.

Dengan berat hati Mama tinggalkan Tisya. Wajah Tisya melambai di balkoni bermain-main di depan mata.

Malang sekali, minggu di mana Mama perlu habiskan masa di pejabat, sama hari dengan orang berhimpun di Kuala Lumpur. Mama bazirkan 2 jam hanya berada di atas jalanraya. Tidak bergerak.

Pencuri masa.
Mereka curi masa kita, Tisya.

2 jam yang berlalu sia-sia.


Semua orang mahu juangkan sesuatu.
Mama juga ada perjuangan.
Mama berjuang untuk Tisya.
Setiap perjuangan akan ada yang menang. Akan ada yang kalah.
Setiap perjuangan akan ada mangsa.

Hari ini, kita adalah mangsa.
Tapi tidak mengapa, Mama terus berjuang.
Untuk anak Mama.

Mama sayang Tisya.

Rabu, 22 Jun 2011

Berdua Lebih Baik

Sayang Mama, Batrisyia,

Papa kena pergi Philipina minggu ni. Bererti, minggu ini hanya ada Tisya dan Mama.

Dan Tisya pula tidak sihat.

Dekat tempat kerja, Mama diberi tugas untuk satu buku. Mama jadi tidak keruan.

Bagaimana untuk Mama "juggle" antara kerja dan menjaga Tisya seorang diri.

Jadi, Mama telefon Nenek. See, tiap kali Mama buntu, Mama akan telefon Nenek.

Sebab, mendengar suara Nenek memberi Mama ketenangan dan Juga kekuatan.

Sebab itu, semasa Mama masih belajar, tatkala kepala serabut dengan peperiksaan, Mama akan keluar dari bilik Mama, turun ke dapur dan duduk di meja. Di situ, Mama akan duduk dan mendengar cerita Nenek. Biasanya, Nenek cerita tentang masakan, tentang barang dapur, atau apa-apa. Mama akan duduk di situ, dan mendengar, kerana pada Mama suara Nenek punya kuasa sakti, yang menenangkan Mama.

Balik kepada cerita tadi, Mama bagitau Nenek Mama risau dengan Tisya. Sudah dua hari Tisya demam.

Dan tiba-tiba Nenek kata, Nenek akan datang ke rumah berjumpa kita.

Nenek, Atok, Uncle dan Maksu tiba tengah malam. Nenek bercadang bawa Tisya ke Segamat.
Jadi Mama hanya perlu fokus pada kerja, dan tidak perlu berkejar-kejar ke sana ke mari seorang diri.
Nenek akan jaga Tisya.

Tisya,
Tapi Mama tidak benarkan, sebab Mama tak dapat bayangkan sehari tanpa Tisya.
Dan nanti Mama tiada untuk bacakan buku untuk Tisya.
Mama tiada untuk nyanyikan lagu Hickory Dickory Dock.
Bagaimana jika Tisya bangun tengah malam dan menangis, dan Mama tiada?

Dan Mama tidak dapat bayangkan bagaimana bila Mama balik ke rumah, dan Tisya tiada.
Bagaimana Mama akan survive setiap malam tanpa Tisya?

Akhirnya, Nenek pulang dengan tangan kosong. Tanpa Tisya.
Dan Mama sedar, Mama harus berkejar ke sana ke mari seorang diri.
Dan seperti biasa, appoinment Tisya dengan Dr Mahani.
Mama berkemungkinan memandu sendiri ke Emergency bila-bila masa saja.
Dan tidak tidur malam menjaga Tisya sakit.

Tapi tidak mengapa, tidak mengapa.
Asalkan kita berdua.

Mama sayang Tisya.

Rabu, 15 Jun 2011

Pengenalan

Batrisya, sayang Mama,

Mulai sekarang, Mama akan tulis surat untuk Tisya. Di sini, Mama akan tulis apa jua yang Mama mahu kongsi dengan Tisya.

Sebab Mama tiada apa-apa berharga untuk Tisya.

Ini saja yang mampu Mama beri. Kata-kata yang datangnya dari hati.

Mama sayang Tisya.