Rabu, 22 Jun 2011

Berdua Lebih Baik

Sayang Mama, Batrisyia,

Papa kena pergi Philipina minggu ni. Bererti, minggu ini hanya ada Tisya dan Mama.

Dan Tisya pula tidak sihat.

Dekat tempat kerja, Mama diberi tugas untuk satu buku. Mama jadi tidak keruan.

Bagaimana untuk Mama "juggle" antara kerja dan menjaga Tisya seorang diri.

Jadi, Mama telefon Nenek. See, tiap kali Mama buntu, Mama akan telefon Nenek.

Sebab, mendengar suara Nenek memberi Mama ketenangan dan Juga kekuatan.

Sebab itu, semasa Mama masih belajar, tatkala kepala serabut dengan peperiksaan, Mama akan keluar dari bilik Mama, turun ke dapur dan duduk di meja. Di situ, Mama akan duduk dan mendengar cerita Nenek. Biasanya, Nenek cerita tentang masakan, tentang barang dapur, atau apa-apa. Mama akan duduk di situ, dan mendengar, kerana pada Mama suara Nenek punya kuasa sakti, yang menenangkan Mama.

Balik kepada cerita tadi, Mama bagitau Nenek Mama risau dengan Tisya. Sudah dua hari Tisya demam.

Dan tiba-tiba Nenek kata, Nenek akan datang ke rumah berjumpa kita.

Nenek, Atok, Uncle dan Maksu tiba tengah malam. Nenek bercadang bawa Tisya ke Segamat.
Jadi Mama hanya perlu fokus pada kerja, dan tidak perlu berkejar-kejar ke sana ke mari seorang diri.
Nenek akan jaga Tisya.

Tisya,
Tapi Mama tidak benarkan, sebab Mama tak dapat bayangkan sehari tanpa Tisya.
Dan nanti Mama tiada untuk bacakan buku untuk Tisya.
Mama tiada untuk nyanyikan lagu Hickory Dickory Dock.
Bagaimana jika Tisya bangun tengah malam dan menangis, dan Mama tiada?

Dan Mama tidak dapat bayangkan bagaimana bila Mama balik ke rumah, dan Tisya tiada.
Bagaimana Mama akan survive setiap malam tanpa Tisya?

Akhirnya, Nenek pulang dengan tangan kosong. Tanpa Tisya.
Dan Mama sedar, Mama harus berkejar ke sana ke mari seorang diri.
Dan seperti biasa, appoinment Tisya dengan Dr Mahani.
Mama berkemungkinan memandu sendiri ke Emergency bila-bila masa saja.
Dan tidak tidur malam menjaga Tisya sakit.

Tapi tidak mengapa, tidak mengapa.
Asalkan kita berdua.

Mama sayang Tisya.

Rabu, 15 Jun 2011

Pengenalan

Batrisya, sayang Mama,

Mulai sekarang, Mama akan tulis surat untuk Tisya. Di sini, Mama akan tulis apa jua yang Mama mahu kongsi dengan Tisya.

Sebab Mama tiada apa-apa berharga untuk Tisya.

Ini saja yang mampu Mama beri. Kata-kata yang datangnya dari hati.

Mama sayang Tisya.